
KUANTAN – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama kerajaan negeri akan menggunapakai model ternakan yang diusahakan oleh Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Tenusu Muadzam Shah (MSCRIC) yang dimiliki oleh Farm Fresh Bhd.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, model itu akan digunapakai di negeri-negeri dalam wilayah tersebut.
“Kerajaan kekal komited dalam menjamin sekuriti makanan negara. Melalui RMK-12, kerajaan telah memperuntukkan RM42 juta untuk pembangunan industri tenusu melalui Program Pembangunan Industri Tenusu Negara.
“Projek pembangunan Lembah Tenusu di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan meningkatkan self sufficiency level (SSL) tenusu negara sekaligus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap susu import,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pusat penyelidikan dan inovasi itu yang dimiliki oleh Farm Fresh Bhd dibangunkan di atas tanah seluas 613 hektar.
Kawasan yang lengkap dengan pelbagai fasiliti itu menempatkan 3,600 ekor lembu yang boleh mengeluarkan 18,000 sehingga 21,000 liter sehari.
Kompleks itu yang mula beroperasi sejak 2014 kini mempunyai seramai 120 orang pekerja.