Laluan udara, darat VTL Malaysia-Singapura dibuka semula mulai hari ini

0
5
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta merta hari ini selepas digantung hampir sebulan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bagaimanapun buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula hari ini akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu pengurangan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

“Bagaimanapun bagi penumpang yang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari 2022 sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini akan bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, setiap pengembara perlu menjalani ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan.

Pada masa sama, katanya, mereka juga perlu menjalani ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

“KKM ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang telah ditetapkan.

“Lakukan ujian pengesanan Covid-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.

“Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here