Lebih 4 juta anak muda layak mengundi

0
18
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 4 juta anak muda berumur 18 tahun telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi sehingga 16 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, pendaftaran secara automatik itu dijalankan agar golongan berkenaan dapat mengundi menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2019.

“Pada 16 Januari lepas, pendaftaran automatik pengundi 18 tahun telah dimuktamadkan. Lebih 4 juta anak muda sudah didaftarkan secara automatik,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kali Ke-60 di Hotel Grand Riverview malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Penasihat MAYC, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurut Ismail Sabri, beliau berharap pertubuhan-pertubuhan belia seperti MAYC akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya proses demokrasi.

Selain itu, Perdana Menteri turut menasihatkan agar golongan muda tidak menjadikan pertubuhan belia sebagai pentas untuk berpolitik atau kepentingan peribadi.

“Platform pertubuhan belia perlu digunakan untuk memberikan input-input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama membangunkan kembali negara.

“Pertubuhan belia perlu terus berperanan sebagai pemangkin bersama-sama pemegang taruh institusi kerajaan untuk membangunkan anak muda negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here