LHDN tangguh pelaksanaan peremitan potongan cukai 2 peratus

0
1357
LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menangguhkan pelaksanaan peremitan potongan cukai sebanyak dua peratus kepada syarikat pembayar sehingga 31 Mac ini.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, sehubungan itu, syarikat pembayar dibenarkan untuk meremitkan potongan cukai itu atas bayaran berbentuk tunai yang dibayar kepada ejen, pengedar atau pengagih bagi bulan Januari sehingga Mac 2022 mulai 1 April 2022 tanpa dikenakan apa-apa kenaikan.

“Bagi memastikan semua syarikat pembayar dapat membuat persediaan dan pemakluman yang sewajarnya dapat diberikan kepada semua ejen, pengedar atau pengagihnya, LHDN bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan peremitan potongan cukai di bawah seksyen 107D ACP 1967 ini sehingga 31 Mac 2022.

“Sehubungan dengan itu, syarikat pembayar dibenarkan untuk meremitkan potongan cukai dua peratus atas bayaran berbentuk tunai yang dibayar kepada ejen, pengedar atau pengagih bagi bulan Januari sehingga Mac 2022 mulai 1 April 2022 tanpa dikenakan apa-apa kenaikan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, potongan cukai dua peratus itu dibuat oleh kerajaan melalui pembentangan Bajet 2022 pada tahun lalu.

Katanya, dalam pembentangan itu, kerajaan telah memperkenalkan Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Tambahnya, melalui pengenalan seksyen baharu itu, setiap syarikat pembayar perlu membuat potongan cukai dua peratus dan meremitkan amaun potongan tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) atas setiap bayaran tunai yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagihnya.

Menurutnya lagi, pelaksanaaan potongan itu adalah melibatkan pengedar atau pengagih yang merupakan individu pemastautin.

Selain itu, jelasnya, kelayakan dalam memastikan ejen, pengedar atau pengagih itu layak dibuat potongan dalam tahun ini adalah berdasarkan nilai ambang RM100,000 penerimaan bayaran pada tahun sebelumnya.

“Amaun potongan dua peratus berkenaan hendaklah diremitkan kepada KPHDN dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat.

“Kegagalan syarikat pembayar meremitkan amaun potongan dua peratus tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan syarikat pembayar perlu membayar amaun diremit berserta 10 peratus kenaikan.

“Sekiranya syarikat pembayar gagal untuk membuat potongan dan meremitkan amaun dua peratus tersebut kepada KPHDN, tuntutan perbelanjaaan berkaitan tidak boleh dibenarkan di bawah perenggan 39(1)(s) ACP 1967,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi memudahkan pemahaman yang lebih jelas, LHDN akan mengeluarkan soalan lazim berkaitan perkara ini yang boleh diakses melalui portal rasmi www.hasil.gov.my .

Pada masa sama, sebarang pertanyaan berkaitan juga boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000/603-89111100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat atau melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here