Lima nelayan Indonesia karam di Selat Melaka diselamatkan

0
12
Mangsa yang diselamatkan dihantar ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut. – Foto Maritim Malaysia

BATU PAHAT – Lima nelayan warga Indonesia yang hanyut di atas rakit keselamatan selepas bot mereka karam berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negeri dekat Tanjung Segenting di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mangsa yang berusia antara 24 hingga 40 tahun itu berada dalam keadaan selamat selepas ditemui oleh nelayan tempatan.

Siasatan awal mendapati kejadian bot karam akibat bocor berlaku kira-kira pukul 1 pagi Sabtu dalam perjalanan mangsa dari Pulau Nipah, Indonesia ke Batam.

“Terdahulu, kami menerima makluman awal dari Vessel Traffic System (VTS) Klang mengenai penemuan sebuah rakit keselamatan bersama mangsa oleh sebuah kapal kargo yang sedang melalui Selat Melaka pada pukul 12.35 tengah hari.

“Bertindak atas aduan, bot PETIR 51 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengambil dan menyelamat kesemua mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, kesemua mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di media sosial agensi berkenaan.

Menurut Nurul Hizam, sebelum ditemui oleh nelayan tempatan, mangsa terlebih dahulu ditemui oleh sebuah kapal dagang yang bertindak memberikan sebuah rakit keselamatan sebagai bantuan awal.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat bagi siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia.

“Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengucapkan terima kasih kepada VTS Klang dan komuniti maritim yang sentiasa membantu dan memberikan kerjasama terutama dalam carilamat yang dikoordinasikan oleh pihak Maritim Malaysia,” katanya.

Kapal nelayan milik rakyat tempatan yang menemui kelima-lima mangsa di perairan dekat Tanjung Segenting, Batu Pahat, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here