Lockdown? Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi-KJ

0
69
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk adakan ‘lockdown’, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, Malaysia sebaliknya menggunakan strategi mitigasi dengan mengurus kes positif dengan berkesan, meningkatkan vaksinasi dan menjaga SOP.

“Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk ‘lockdown’. Strategi kita adalah mitigasi.

“Ini bermaksud, kita mengurus kes positif dengan berkesan, meningkatkan vaksinasi, jaga prosedur operasi standard (SOP), #TRIIS (test, report, inform, isolate and seek) agar kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan kemasukan ke hospital menurun,” kata Khairy melalui Twitternya, hari ini.

Ciapan itu merupakan reaksi balas terhadap kritikan dilontarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, terhadap beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengendalikan pandemik Covid-19 di negara ini.

Dalam penjelasannya, Khairy mengakui pendekatan China seperti dibangkitkan King Sing, berkesan dalam mengawal penularan Covid-19, namun strategi negara itu adalah pembendungan atau sifar Covid, bermaksud sekatan pergerakan dibuat sepenuhnya walaupun hanya ada tiga kes positif.

“Tidak dinafikan pendekatan China (melaksanakan lockdown) berkesan.

“Namun strategi mereka iaitu containment (pembendungan) atau ‘zero Covid’ bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif,” kata Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau

Dalam ciapan itu, Khairy turut menyertakan tangkap layar laporan berita menyebut ‘Yuzhou: Second Chinese city forced into Covid lockdown’ (Yuzhou: Bandar China kedua dikenakan sekatan pergerakan Covid).

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjalankan tugas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here