Makan besar malam Tahun Baharu Cina dibenarkan

0
31
Perhiasan tanglung yang dipamerkan sempena Sambutan Tahun Baru Cina ketika tinjauan lensa Malakat Tribune di pusat beli belah Pavilion.

CYBERJAYA – Kerajaan membenarkan aktiviti makan besar sempena Tahun Baharu Cina diadakan dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, turut dibenarkan ialah aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina.

“Aktiviti-aktiviti sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 adalah tertakluk kepada syarat-syarat iaitu pada 31 Januari 2022 dibenarkan makan keluarga dan pada 1 dan 2 Februari 2022 dibenarkan upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam mengikut SOP.

“Pembukaan rumah ibadat itu dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4. Pada 8 dan 9 Februari 2022 dibenarkan Sembahyang Khas Hokkien Clan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, sempena Sembahyang Chap Goh Mei kerajaan membenarkan aktiviti ziarah dijalankan.

“Untuk Resepsi Tahun Baru Cina hanya dibenarkan kepada yang mendapat jemputan sahaja.

“Tidak dibenarkan kepada orang awam yang tidak mendapat jemputan dan tiada sesi majlis berterusan seperti rumah terbuka.

“Dibenarkan dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, persembahan Tarian Singa atau Tarian Naga atau Tarian Harimau juga dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada SOP Industri Kreatif; (Persembahan Langsung) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here