
CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco yang menerajui perniagaan Malakat Mall dan Brainy Bunch berhasrat untuk melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 jenama bertaraf dunia dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang.
Presiden Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, melalui program keusahawanan dan bimbingan yang sedang dan akan dilaksanakan, pihaknya mensasarkan tahun 2030 untuk mencapai cita-cita itu.
“Malakat Mall adalah platform perniagaan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk menyediakan peluang dan ruang untuk usahawan yang beretika dan mampu memberikan impak.
“Peluang itu akan dikongsikan untuk membolehkan mereka memasarkan produk dan perkhidmatan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun digital,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, matlamat memperkasakan usahawan dengan ilmu pengetahuan dan strategi perniagaan itu juga merupakan sebahagian daripada impian Malakat Eko untuk membina ekosistem ekonomi Islam yang adil dan saksama.
Katanya, melalui cara itu juga, umat Islam dapat memastikan pengagihan kekayaan di antara usahawan dan peniaga dengan pekerja dilakukan secara adil.
Mohd Fadzil yang berada di Turki dalam kunjungan kerjanya sejak beberapa bulan lalu telah mengumumkan pelbagai peluang kepada usahawan tempatan untuk meluaskan pasaran baharu di negara itu dan juga di Eropah.
Antara fokus utama adalah melalui ‘pertukaran’ produk halal antara pengeluar produk di kedua-dua negara dengan keutamaan diberikan kepada pembekal dan usahawan produk di Malakat Grocer.
Sebelum ini, Fadzil mengumumkan akan melebarkan sayap perniagaan pasar raya Malakat Grocer milik Malakat Eco ke Turki selain membawa jenama popular kumpulan perniagaan itu seperti Tea Amo.
