
JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 5,399 orang setakat pukul 8 pagi ini.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 1,340 keluarga di 81 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Daerah yang terjejas banjir ketika ini adalah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 3,804 mangsa namun mencatatkan sedikit pengurangan berbanding semalam.
“Ini diikuti Tangkak dengan 598 mangsa, Mersing (470), Muar (161), Kota Tinggi (131), Kluang (124) dan Batu Pahat (111),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan Johor tidak mempunyai sebarang amaran bahaya melibatkan hujan pada Rabu.
Katanya, sebanyak 13 laluan masih terputus hubungan melibatkan 10 laluan di Segamat serta masing-masing satu di Mersing, Kluang dan Muar.