Mangsa banjir di Johor semakin meningkat, terkini 5,479 mangsa

0
24
R. Vidyananthan

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada pagi ini meningkat kepada 5,479 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, R. Vidyananthan berkata, penempatan di 78 buah PPS tersebut terdiri daripada 1,486 buah keluarga.

Katanya, antara daerah yang terjejas akibat banjir di negeri ini adalah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat.

“Segamat kekal daerah paling teruk terjejas akibat banjir dengan seramai 4,016 mangsa direkodkan, diikuti Mersing (548 mangsa), Tangkak (434 mangsa) dan Kota Tinggi (210 mangsa),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Vidyananthan, ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan Johor dengan tahap Amaran Hujan Berterusan Buruk bagi seluruh negeri untuk hari ini.

“Sementara itu, status notifikasi bacaan sungai menunjukkan empat sungai di Segamat dalam status bahaya manakala satu sungai di Tangkak dalam status sama.

“Sungai tersebut adalah Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Segamat di Bandar Segamat, Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Kesang di Tangkak,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here