Mangsa banjir di Selangor dan KL dapat pengecualian bayaran bil air bagi Januari 2022

0
15
Gambar Hiasan

CYBERJAYA- Para pelanggan akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini akan diberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Januari 2022.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, pengecualian bayaran bil air itu merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya,penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik yang mana mereka tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor,” kata Air Selangor dalam kenyataannya hari ini.

Jelasnya Air Selangor, para pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang telah dinyatakan.

“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter selain boleh membuat aduan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here