
CYBERJAYA – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kini dalam peringkat akhir membangunkan dua platform jual beli atas talian melibatkan barangan pengguna dan automotif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, platform yang dikenali dengan nama MARii e-Commerce Marketplace dan Shopker itu bakal memanfaatkan industri kecil dan sederhana (IKS) negara kerana inisiatif ini disokong oleh kerajaan.
“Oleh kerana itu, sudah tentu apa yang kami lakukan adalah mengutamakan produk buatan tempatan,” kata Madani, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama PH Empire Holding Berhad (PHEHB) bagi memajukan platform jualbeli Shopker.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PHEHB, Datuk Dr. A.J. Jamaluddin.
Kata Madani, MARii e-Commerce Marketplace dibangunkan khusus buat usahawan automotif, manakala Shopker pula akan memfokuskan pada jualan barangan dan perkhidmatan.
“Kedua-dua platform ini dibangunkan 100 peratus di dalam negara, dengan sistem ‘backend’ yang diselenggara oleh kerajaan menerusi MARii.
“Oleh itu, kita akan punya lebih banyak kelebihan terutamanya dari segi pengumpulan data yang diperlukan pihak penjual bagi memajukan lagi produk dan perkhidmatan mereka,” kata Madani lagi.
Beliau menambah, kedua-dua platform tersebut akan dilancarkan sepenuhnya dalam masa dua minggu lagi.
Ketika ditanya mengenai sasaran, kata Madani, “Dalam masa tiga bulan akan datang, kami menyasarkan sebanyak 10,000 syarikat telah mendaftar di kedua-dua platform ini, dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM100 juta sebulan.”