
BATU PAHAT – Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan satu cubaan untuk menyeludup masuk lima laras senapang angin di perairan Pulau Sialu, di sini semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman, pihaknya menerima satu maklumat berkenaan kegiatan berkenaan dan susulan itu menggerakkan anggota ke kawasan berkenaan bagi melakukan risikan dan intipan sekitar pukul 7.20 malam.
Katanya lagi, aset Maritim Malaysia kemudian turut digerakkan bagi melaksanakan pemantauan di sekitar lokasi berkenaan.
“Tiada sebarang pergerakan bot atau suspek mencurigakan di sekitar lokasi penemuan, namun sewaktu pasukan operasi melakukan pemeriksaan sekitar kawasan Beacon Panjang Utara telah menemukan satu karung guni putih dan satu beg hitam.
“(Setelah diperiksa) Ia berisi senjata api jenis senapang angin berserta sebuah kotak besi berisi peluru jenis bearing di kedudukan kira-kira 13.5 batu nautika barat daya Pulau Sialu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata Mohammad, keseluruhan barangan yang disyaki cuba diseludup dari sebuah negara jiran dan dianggarkan bernilai RM10,000 itu dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.