Mesyuarat khas tangani isu banjir minggu depan – PM

0
5
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan dalam majlis penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

BERA – Satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat pusat bagi menangani isu banjir secara komprehensif akan diadakan minggu depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat itu akan membabitkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri.

Beliau berkata, antara perkara yang bakal disentuh melibatkan perancangan jangka panjang membabitkan pembinaan tebatan banjir atau mengurangkan kesan impak bencana itu.

“Kita nak selesaikan secara menyeluruh dan tidak mahu isu ini berulang kerana akhirnya kerajaan yang terpaksa berbelanja setiap tahun misalnya tahun ini sahaja lebih RM6 billion, sekiranya perbelanjaan itu digunakan untuk projek tebatan banjir, mungkin kita dapat selesaikan isu ini.

“Jadi kita nak dapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri kerana mereka juga terlibat, sekiranya kita mahu membina rumah mangsa banjir di kawasan lain dan sebagainya, kerana bidang kuasa tanah di bawah mereka,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir di Bera, di sini menerima wang tunai RM2,500.

Mengulas mengenai bantuan berkenaan, Ismail Sabri berkata bagi kawasan lain, bantuan itu juga sedang giat diagihkan dan akan disegerakan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata beliau, sebagai ‘Ketua Keluarga Malaysia’ akan menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat dengan baik.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk jaga kepentingan keluarga. Kepentingan saya untuk jaga semua keluarga… sekiranya ahli keluarga ditimpa kesusahan, yang lain akan bantu. Semangat itu ada dalam kerajaan, tiada sesiapa yang akan ketinggalan untuk dibantu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here