
CYBERJAYA – Melihat kepada trend kebimbangan rakyat negara ini terhadap kesan sampingan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan kajian terperinci dilakukan kerajaan.
Melalui laman Instagramnya, beliau turut berkongsi pengalaman bapanya yang sudah seminggu dimasukkan ke hospital akibat mengalami gejala muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin Covid-19.
Menjelaskan perkara itu Mohd. Asri berkata, ayahnya dipercayai diserang strok di bahagian yang sensitif di kepala namun puncanya belum dapat dipastikan.
Justure beliau mahu kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji sedalam-dalamnya kesan sampingan akibat vaksin terutamanya dos penggalak kerana rakyat biasa tidak mungkin tahu mengenainya kecuali para doktor.
“Kebetulan minggu sebelum itu, ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau (anak sahabat) sebelum itu sihat. Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar. Keluarga beliau, orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci.
“Mereka hanya kata “lepas vaksin nombor 3, tak pasai-pasai dia sakit, lepas tu meninggal”. Mungkin juga ada punca lain.
“Sebelum itu, ada juga orang yang rapat dengan saya yang menceritakan seorang bakal ahli jemaah umrah beliau yang ambil dos penggalak sebagai syarat umrah, tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal. Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar,” katanya.
Mohd Asri berkata, ekoran terlalu banyak kejadian-kejadian yang dilihat berkait dengan pengambilan vaksin berkenaan, beliau menyarankan KKM memandang serius dakwaan tersebut demi keselamatan umum.
“Apapun, pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.
“Ramai yang menyebut hal ini di sosial media. KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya.
