Murid jatuh beranda: KPM baiki segera kerosakan di SK Long Bemang

0
40
SK Long Bemang

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membaiki dengan segera kerosakan yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Baram, Sarawak selepas insiden seorang murid mengalami kecederaan akibat terjatuh daripada sebuah beranda sekolah tersebut, kelmarin.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor dan pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap.

“Saya terus meminta semakan dibuat untuk melihat sama ada sekolah ini berada dalam senarai projek pembangunan atau penyeleggaraan bangunan daif di sekolah KPM. Saya dimaklumkan sekolah ini memang telah ada dalam senarai tersebut.

“Kita akan usahakan sebaik mungkin supaya proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang akan dibuat selewat-lewatnya bulan Februari ini.

“Sebagai tindakan segera, JPN Sarawak telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor dan pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, murid Tahun 2 di SK Long Bemang, Baram, Aliccia terjatuh daripada beranda sekolah kerana kayu penghadang telah reput.

Dalam pada itu, katanya, KPM akan memastikan pelaksanaan projek penggantian ini berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat untuk warga sekolah dapat disediakan.

Sementara itu, beliau turut mendoakan agar adik Aliccia terus diberikan kesihatan yang baik dan dapat kembali ke sekolah.

Katanya, KPM akan sentiasa berusaha untuk menyediakan infrastruktur sekolah yang selesa dan selamat demi kelangsungan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here