
KUALA LUMPUR – Platform pendidikan digital, MyClaaz.com menjalin kerjasama dengan Uniti Office bagi bertukar kursus dan program untuk ditawarkan kepada pelajarnya.
Menurut Pengasas MyClaaz.com, Dr Zaharuddin Abd Rahman, menerusi kerjasama itu sebahagian kursus yang ditawarkan pihaknya akan dimuatkan di dalam platform Ulearniti iaitu salah satu jenama di bawah Uniti Office.
“Di peringkat Uniti Office pula, mereka akan menghantar kursus-kursus kepada kami jadi kedua-dua pihak akan bertukar kursus.
“Kedua-dua platform learning online Myclaaz, Mycourse.my dan Ulearniti masing masing ada kursus yang telah diusahakan. Di peringkat Mycourse.my, kami ada beratus-ratus kursus dan kami juga mempunyai seramai 2,000 pelajar, yang mana hampir macam satu kolej swasta, begitu juga di peringkat Ulearniti.
“Jadi kami bertindak untuk bertukar kursus tadi supaya pihak lain akan dapat menikmati dan mendapat manfaat daripadanya,” katanya baru-baru ini.
Yang hadir sama, Presiden Kumpulan Uniti Asia, Datuk Jamal Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Uniti Office, Aziz Jaafar Hussain.
Dalam pada itu, Zaharuddin berkata, sejak dilancarkan pada Ogos tahun lalu terdapat lebih kurang 2,000 pelajar mengikuti program berkenaan.
Katanya, antara topik yang mendapat sambutan hangat ialah berkaitan pelaburan.
“Topik sebegini kebanyakkannya mendapat tempat dan perhatian masyarakat, pada ketika ramai yang kehilangan kerja dan berusaha untuk mendapat pendapatan sampingan kursus sebegitu mendapat tempat di peringkat kami.
“Kami juga jadikan platform kami tempat orang buat duit. Bukan hanya belajar tapi kami ada program ‘My Affiliate’ yang mana melalui sistem yang sangat sistematik, sesiapa sahaja boleh mendaftar percuma tanpa sebarang kos dan tanpa perlu masukkan kad pengenalan.
“Mereka hanya perlu masukkan maklumat ringkas yang diperlukan seperti email, nama dan kata laluan,” ujarnya.
Zaharuddin berkata, melalui program affiliate itu pengguna boleh mendapatkan 10 peratus daripada apa sahaja jenis penjualan kursus.