
GOMBAK – Kaedah pembelajaran secara dalam talian atau online bukan lagi perkara yang baharu pada masa kini apatah lagi dengan kemudahan Internet yang semakin meluas dan berkapasiti tinggi.
Di bandar atau di kampung, kaedah itu terbukti menjadi penyelesaian terbaik kepada mereka yang dikekang kesibukan dan jarak perjalanan.
Menyedari peredaran kaedah komunikasi antara guru dan pelajar yang semakin fleksibel, MyClass Technologies Sdn Bhd, memperkenalkan platrform pendidikan digital yang dinamakan MyCourse.my.
Pengarah Urusannya, Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkata, MyCourse.my diwujudkan untuk memberi peluang kepada orang ramai meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran tanpa perlu mengikuti kelas secara fizikal.
Beliau berkata, pembelajaran melalui rakaman video itu merangkumi pelbagai topik dan bidang pengajian yang berkait dengan ilmu agama, ekonomi, pelaburan, dunia digital, motivasi dan banyak lagi.
“Dengan menyertai MyCourse.my, peserta akan diberikan laman akaun atau dashboard peribadi untuk membolehkan mereka mengakses kandungan yang telah dibayar.
“Selain pembelajaran melalui rakaman video, peserta juga diberi peluang untuk berinteraksi dengan tenaga pengajar melalui emel atau telefon.
“Peserta juga disertakan dengan nota pembelajaran yang boleh dimuat turun bila-bila masa,” katanya kepada Malakat Tribune baru-baru ini.

Menurut Zaharuddin, melalui dashboard yang disediakan, pelajar boleh mengakses kandungan-kandungan yang telah dilanggan 24 jam sehari tanpa tempoh tamat.
Lebih penting katanya, pembelajaran setiap kursus atau modul yang ditawarkan turut diperakukan dengan sijil pembelajaran yang dapat digunakan untuk sokongan dalam kerjaya.
“Tidak dinafikan, memang ramai yang belajar atau menimba kemahiran melalui media sosial seperti Youtube, tetapi mereka tidak memiliki persijilan yang sah.
“Pada masa kini dianggarkan terdapat ratusan kandungan pembelajaran dan kursus yang berdurasi antara dua hingga 40 jam,” katanya.
Zaharuddin berkata, pihak turut menawarkan peluang kepada mana-mana individu yang berkemahiran dan berkelayakan untuk menjana pendapatan dengan menyertai barisan ‘tenaga pengajar’ di platform itu.
Selain itu juga, tawaran menjana pendapatan juga diberikan kepada pelajar yang membawa masuk pelajar baharu melalui program affiliate.
“Kami tawarkan komisen sebanyak 10 peratus daripada harga setiap kursus yang dilanggan oleh peserta,” katanya yang kini memiliki lebih 1,000 pelajar berdaftar di platform itu.

Sementara itu, Zaharuddin berkata, selain barisan pengajar yang terkenal dan berpengaruh, pihaknya turut bekerjama dengan universiti awam dan swasta serta organisasi-organisasi yang pakar dalam industri.
“Terbaharu kami juga dipelawa untuk menyertai Universiti Arizona di Amerika Syarikat yang menyatakan kesudian untuk berkongsi kursus-kursus mereka di platform kami.
“Sasaran kami adalah untuk menjadikan MyCourse.my ini sebagai platform pendidikan yang bukan hanya untuk rakyat Malaysia tetapi untuk global.
Antara kursus yang ditawarkan adalah Reka Grafik 3D; Reka Slide Professional Dengan Microsoft PowerPoint; Pengensalan Asas & Aplikasi Ethical Hacking; Kepentingan Industri Halal, Kerjaya & Kaedah Sertu; Prosedur Pensijilan Halal Makanan & Kosmetik; Muzakarah Kewangan Islam Pasca Pandemik; Bengkel Mengenali Kategori Hadith; Tatacara Wudhu, Solat Sempurna dan Rahsia Khusyuk Solat; Bengkel Teknik Menjawab SPM Matematik dan banyak lagi.
Maklumat lanjut mengenai MyCourse.my boleh diperolehi dari laman www.mycourse.my atau laman facebook www.facebook.com/mycourse.my/ atau hubungi talian 011-5853 0774.