
KUALA LUMPUR – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperuntukkan dana sebanyak RM4 juta bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendaftar idea perniagaan mereka sebagai harta intelek.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, peruntukan itu yang disediakan di bawah Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 boleh dimohon bermula pada tahun ini hingga 2025.
“Dana ini yang merupakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dijangka memberi manfat kepada 2,000 usahawan terutamanya daripada sektor PKS.
“Ia merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti penderafan paten,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 di sini, baru-baru ini.
Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad dan Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar.
Mengulas lanjut, katanya, menerusi dana itu juga, kerajaan akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, paten, hak cipta, rekabentuk perindustrian dan petunjuk geografi.
Beliau berkata, pemberian dana itu sekali gus dapat meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara.
Pada masa sama, katanya, pemberian dana itu juga dapat membantu meningkatkan pemfailan harta intelek tempatan.
Sebelum ini MyIPO turut menawarkan dana yang sama pada 2016 sehingga 2020 di bawah Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM2.5juta.
Sepanjang tempoh tersebut, seramai 1,465 usahawan telah mendapat manfaat melalui pemberian dana itu.