Obor-obor beracun di persisiran pantai Terengganu

0
19
Obor-obor beracun dikenali sebagai portuguese man o’ war atau nama saintifiknya physalia physalis

KUALA TERENGGANU – Orang ramai diminta berwaspada dengan kemunculan obor-obor beracun dikenali sebagai portuguese man o’ war atau nama saintifiknya physalia physalis di persisiran pantai di Terengganu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hasil tinjauan pada Ahad mendapati terdapat obor-obor itu di sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang.

Ruzaidi berkata, setakat pagi ini pihaknya menemukan empat ekor obor-obor yang terdampar di pantai dan tinjauan masih lagi dijalankan.

“Kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi obor-obor spesies sama yang terdampar di kawasan pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, fasa musim Monsun Timur Laut pada masa ini menjadi antara faktor obor-obor berkenaan terdampar di perairan Pantai Timur.

“Kali terakhir spesies hidupan beracun itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020.

“Kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 obor-obor itu terapung di perairan Lautan Hindi. Ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin. Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika,” katanya.

Dalam pada itu katanya, purata panjang sulur sesungut spesies itu boleh mencapai lebih sembilan meter panjang dan diliputi oleh nematocyst yang dipenuhi racun digunakan untuk melumpuhkan, membunuh ikan dan makhluk kecil lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here