
CYBERJAYA – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran ekoran penularan varian Omicron di dalam negara.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke negara ini sebagai langkah pencegahan.
“Kerajaan tidak menolak untuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.
“Namun penting juga untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan PKP secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini.
Setakat hari ini, sebanyak 245 kes penularan Covid-19 membabitkan varian Omicron dikesan di seluruh negara yang sebahagian besarnya berpunca daripada kemasukan pengembara dari luar negara.
“Sebahagian besar kes jangkitan varian ini di negara kita masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara khususnya jemaah umrah.
“Ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan pemantauan rapi dan sentiasa mengambil kira laporan semasa dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) serta negara-negara yang terkesan dengan penularan varian ini,” katanya.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Kuartet dengan memberi tumpuan terhadap perkembangan terkini situasi penularan Covid-19 dalam negara khususnya varian Omicron.