
GERIK – Pencarian kanak-kanak Orang Asli perempuan cacat pendengaran yang hilang di hutan Kampung Selaor, dekat sini yang masuk hari keempat hari ini terus diperluaskan.
Kamilia Anap, 9, yang dikenali sebagai Ayeng dilaporkan hilang pada 4.30 petang Khamis lalu ketika keluar mencari hasil hutan bersama ahli keluarganya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, radius pencarian kanak-kanak di kawasan hutan yang terletak di timur Hutan Simpan Temenggor itu diperluaskan kepada 10 kilometer (km) persegi.
“Operasi diteruskan dengan kekuatan 37 anggota termasuk dari Unit K9 (Unit Anjing) JBPM, polis, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan syarikat komunikasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ayeng bersama 11 orang penduduk kampung berkenaan dikatakan hilang tidak jauh dari kawasan penempatan penduduk selepas tertinggal di belakang kumpulan yang keluar mencari rotan.
“Ayeng sudah berada di kawasan lapang yang menjadi tempat penduduk sering berkumpul sebelum disedari hilang.
“Usaha mencari Ayeng oleh dua kumpulan penduduk bagaimanapun tidak berjaya menemuinya,” memetik kenyataan Center for Orang Asli Concerns (COAC) di media sosial semalam.
Selain cacat pendengaran, kanak-kanak yang berbaju kuning dan berseluar oren ketika hilang itu dikatakan seorang yang lembam.