
CYBERJAYA – Sebanyak 142 kawasan di Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini susulan kejadian paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam.
Menurut Air Selangor dalam satu kenyataan, kejadian paip pecah itu berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga, semalam.
Berikutan itu, katanya, Air Selangor perlu menjalankan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah tersebut yang akan bermula jam 3 petang hari ini.
“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 3 pagi, esok dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Sehubungan itu, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.