PAPSMA sokong langkah kerajaan mansuh khidmat ejen haram pekerja asing

0
33
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyokong penuh langkah kerajaan memansuhkan semua khidmat ejen haram pengambilan pekerja asing yang boleh memberikan imej negatif kepada negara.

Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran berkata, langkah itu membolehkan semua ejen pekerja asing berdaftar untuk menjalankan perniagaan secara beretika dan profesional, sekali gus mengekalkan imej baik negara berkaitan proses pengambilan golongan tersebut.

“Langkah ini akan memansuhkan pengambilan pekerja asing tanpa kebenaran, sindiket dan monopoli daripada semua individu dan organisasi dari mana-mana negara tertentu berkaitan dengan industri pengambilan asing di Malaysia.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam semua usaha dan tindakan kami untuk membasmi pemberian maklumat palsu dan tindakan tidak wajar oleh ejen haram yang tidak bertanggungjawab dalam mengumpul pembayaran yang terlalu tinggi daripada majikan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. N. Sukumaran

KSM pada Isnin lalu Isnin lalu menasihatkan pihak majikan agar tidak menggunakan pihak ketiga atau orang tengah yang  boleh mempercepatkan proses permohonan membawa masuk pekerja asing susulan kelulusan kerajaan bagi tujuan itu untuk semua sektor.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, pihaknya juga menyokong tindakan kementerian membuka peluang kepada negara-negara lain terutamanya Bangladesh bagi menghantar tenaga kerja mereka ke sini.

Jelasnya, sebagaimana dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, ia membuatkan industri bersifat lebih kompetitif dan tidak dimonopoli negara-negara tertentu sahaja.

Sementara itu, beliau turut melahirkan perasaan kesal dengan laporan-laporan berita tidak benar yang memberi gambaran negatif terhadap proses pengambilan pekerja asing terutama dari Indonesia.

Sukumaran berkata, laporan-laporan berita yang mengandungi maklumat tidak benar tersebut berkemungkinan dihasilkan penulis bebas yang memperalatkan media.

Justeru, pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan kementerian bagi menghalang penyebaran maklumat palsu berkenaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here