Pas, Bersatu guna logo PN bertanding PRN Johor

0
151
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM – Bersatu dan Pas akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logo Perikatan Nasional.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan, lapor BH Online.

“Hasil resolusi muzakarah yang diadakan, kita akan menyertai PRN Johor sebagai PN.

“Kita juga akan memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai satu pasukan sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, soal calon bakal bertanding akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.

“Kita akan putuskan, insya-Allah akan bincang perkara itu kerana yang penting hasrat kita bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, bangsa Johor untuk bentuk kerajaan PN di peringkat negeri.

“Dari segi calon, kita akan mengambil contoh di (PRN) Melaka yang menyaksikan gabungan orang berpengalaman dan anak muda kerana di Johor ramai tokoh berkelayakan,” katanya.

Katanya, memandangkan Johor sebuah negeri yang besar, PN akan menyusun semula strategi dengan mengambil kira keputusan PRN Melaka baru-baru ini.

“Kita mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda menerusi penjenamaan serta mesej jelas yang diterima rakyat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi ketika ditanya mengenai Muafakat Nasional (MN) di Johor, beliau sekadar tersenyum dan meminta soalan terbabit ditanyakan kepada UMNO.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here