PDRM akan mohon suspek pembunuhan pensyarah Palestin di ekstradisi ke Malaysia

0
49

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, buat masa ini PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, laporan media menyebut bahawa suspek pembunuhan Fadi al-Batsh itu telah ditahan di Gaza.

Suspek itu dilaporkan turut membuat pengakuan bahawa dia direkrut oleh agensi perisikan Israel, Mossad untuk melakukan pembunuhan itu.

Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here