PDRM: Laporan terhadap Azam dirujuk kepada SC

0
19
AZAM BAKI

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung pendedahan Tan Sri Azam Baki yang membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau bagi pembelian saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata, laporan polis itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan selanjutnya.

Bukit Aman, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan, terdapat beberapa laporan polis dilakukan terhadap Azam berkaitan isu pemilikan saham.

Kata Hamzah, beliau difahamkan Azam sedang disiasat mengikut akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Baru-baru ini, isu Azam selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi panas susulan pengakuannya secara terbuka dalam satu sidang akhbar khas bahawa dia mempunyai kepentingan saham dalam akaun atas nama dirinya yang didakwa konon digunakan pula oleh adiknya sendiri.

Azam dalam sidang akhbar yang sama turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa.

Beliau menganggap dakwaan tersebut sebagai satu penipuan besar yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif sekali gus cuba menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here