PDRM tumpaskan kegiatan jual sijil vaksinasi Covid-19 palsu

0
50

KUALA TERENGGANU – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu susulan penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu pada Sabtu lepas.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik itu bagi tujuan vaksinasi, dan pihaknya sedang menyiasat berapakah jumlah sebenar individu yang hanya menerima sijil sahaja tanpa suntikan.

“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada satu sidang akhbar, hari ini.

Rohaimi menambah, individu dari luar Terengganu turut dipercayai menggunakan khidmat doktor itu bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

“Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menambah, doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

“Walaupun mengaku (sebagai) antivaksin, suspek sudah menerima suntikan vaksin (Covid-19), mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” kata Rohimi lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here