
SEGAMAT – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor akan bertanding secara sendirian dan meletakkan 42 calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua PEJUANG Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh berkata, parti itu sudah mengumumkan tidak menyokong mana-mana pihak dan bertanding sendirian walaupun tidak di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.
“Calon yang dipilih adalah dalam kalangan belia, wanita, profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bekas pegawai kerajaan dan ahli perniagaan.
“Kita akan memuktamadkan semua nama calon ini ke jawatankuasa pusat parti dalam tempoh terdekat.
“Keutamaan lokasi meletakkan calon PEJUANG dinilai berdasarkan majoriti penduduk Melayu di kawasan masing-masing,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya terbuka jika mana-mana parti mahu bekerjasama dengan PEJUANG pada PRN negeri.
Dalam perkembangan sama, PEJUANG Johor akan mula menggerakkan siri jelajah TEBUK ke seluruh negeri pada setiap Sabtu dengan membawa moto parti Berintegriti, Bersih, Cekap dan Amanah.
“Kita akan memperkenalkan parti melalui jelajah TEBUK, pada logo, warna, bendera dan lain-lain supaya orang tahu PEJUANG menjadi lebih dekat di hati,” katanya.
Semalam Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor .
Ia sekaligus memberi laluan kepada PRN untuk diadakan di negeri berkenaan.