
CYBERJAYA – Segala perancangan dan dasar perlu berlandaskan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sekiranya negara mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi seperti mana musibah dilalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi.
“Bencana banjir yang melanda negara baru-bari ini, yang menjejaskan kehidupan Keluarga Malaysia di beberapa negeri yang bukan sahaja kehilangan harta benda, tetapi orang tersayang.
“Saya berharap perkara ini dapat dijadikan iktibar semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar,” katanya ketika berucap melancarkan penubuhan Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG di Putrajaya, hari ini.
Dana Amanah MySDG merupakan kolaborasi antara kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).
Kata Ismail Sabri, matlamatnya antara lain bertujuan membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.
Penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan SDG bagi memastikan Agenda 2030 tercapai.
Kata Perdana Menteri lagi, kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan SDG secara bersendirian, sebaliknya sokongan sektor perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu bersama-sama menyumbang dan turut serta dalam melengkapi usaha kerajaan mencapai matlamat SDG menjelang 2030.
Beliau turut mengumumkan bahawa mana-mana pihak yang menyumbang kepada Dana Amanah MySDG menerima potongan cukai penuh sehingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat.