Pemandu Nissan Navara akibatkan 4 sekeluarga maut positif dadah

0
221
Empat sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri di simpang empat Kampung Lebu berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Bentong di sini hari ini

BENTONG – Polis mengesahkan pemandu kereta Nissan Navara yang terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Vellfire hingga menyebabkan empat sekeluarga maut di simpang empat Kampung Lebu berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di sini hari ini positif dadah jenis opiate, amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, keputusan itu diperoleh selepas ujian awal air kencing dibuat di Hospital Bentong.

“Siasatan awal mendapati, Toyota Vellfire terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri kahwin.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Vellfire terbabit telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat hijau dan mendapati kenderaan di sebelah kanan arah bertentangan telah berhenti di lorong kanan.

“Tiba-tiba Nissan Navara yang datang dari arah hadapan (dipercayai tidak berhenti semasa lampu isyarat merah) di lorong kiri terus melanggar bahagian hadapan Toyota Vellfire lalu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa dalam Toyota Vellfire mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Nissan Navara mengalami pendarahan di kepala dan dihantar ke hospital Temerloh. Ujian awal air kencing di Hospital Bentong mendapati pemandu Nissan Navara positif dadah jenis opiate, amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, siasatan berhubung kejadian itu diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu difahamkan tiub straw lutsinar turut ditemui pada pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai dadah jenis methamphetamine.

Dalam tragedi itu, empat yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu penumpang Toyota Vellfire, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd, Nazri, 14; Ahmad Muaz Mohd. Nazri, 7, dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri berusia empat tahun.

Suami Raihan yang juga pemandu Toyota Vellfire, Mohd. Nazri Hamid, 43, guru di Gua Musang, Kelantan mengalami kecederaan dan patah tangan kiri.

Pemandu Nissan Navara, Ahmad Fuad Mohammad Salleh, 43, mengalami kecederaan di bahagian kepala.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here