Pembela desak Azam Baki letak jawatan atau bercuti sementara

0
80
Aminuddin Yahya

CYBERJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada satu siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan kes rasuah terhadapnya.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai pemimpin utama dalam pasukan agensi pencegahan rasuah, Azam Baki patut meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya bercuti sepanjang siasatan dilakukan.

Justeru katanya, pihak polis dan pihak berwajib lain seperti Jawatankuasa Khas Parlimen perlu diberikan laluan untuk melakukan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap kes yang melibatkan Tan Sri Azam Baki dan kes-kes lain melibatkan SPRM.

“Pembela merujuk kepada perkembangan terkini melibatkan skandal integriti yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

“Kami melihat kes ini adalah kes yang sangat serius yang membuatkan kepercayaan rakyat semakin hilang terhadap SPRM,” katanya dalam kenyataan di media sosial petang ini.

Aminuddin berkata, Azam Baki perlu tampil sebagai seorang yang ‘gentleman’ dengan membenarkan siasatan dilakukan secara telus jika beliau berada di pihak yang benar.

Sementara itu, beliau berkata, gesaan itu dibuat kerana Pembela tidak akan berkompromi dengan segala masalah integriti terutamanya yang melibatkan badan penguatkuasa seperti SPRM.

Azam Baki sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai bursa sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM.

Beliau kemudian menjelaskan isu pemilikan saham itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana saham berkenaan sebenarnya adalah milik adiknya, Nasih Baki

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here