Pemilikan Saham: LPPR puas hati penjelasan Azam Baki

0
71
TAN SRI AZAM BAKI

CYBERJAYA – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham didakwa miliknya.

Abu Zahar berkata, panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tular di media sosial dan menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

“Azam menjelaskan adik beliau, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada 2015. Beliau juga memaklumkan tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahu pun pemilikan saham berkenaan.

“Pada masa yang sama, pembelian saham-saham itu dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015,”katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Zahar menjelaskan, walau bagaimanapun, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir Baki dalam tahun berkaitan.

“Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary mahupun beneficial ke atas saham-saham berkenaan.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, mengenai isu peletakan jawatan bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund, LPPR berpandangan bahawa adalah hak peribadinya untuk berhenti dan tiada siapa boleh menghalangnya.

“Dakwaan bahawa saya telah terima Surat daripada Dr. Edmund. Ingin ditegaskan bahawa saya tidak menerima apa-apa Surat daripada Dr. Edmund mengenai isu saham Ketua Pesuruhjaya sehingga hari ini.  Jika ada sila berikan Salinan Surat yang berkenaan dan sila buktikan. 

“Namun begitu, setelah Dr. Edmund menghebohkan perkara ini di Media Sosial, seterusnya atas arahan saya, pegawai sekretariat SPRM telah menghubungi dan menjemput Dr. Edmund untuk berbincang isu-isu yang dibangkitkan secara bersemuka untuk saya mengetahui apa hal sebenarnya yang dia tidak puas hati, tetapi tidak dipersetujui.

“Saya sentiasa lebih terbuka dan telus untuk berbincang dengan Dr. Edmund dalam hal seumpama ini, kerana saya tidak akan berkompromi dan melindungi sesiapa sekiranya adanya salah laku terhadap mana-mana pegawai SPRM tanpa mengira kedudukan atau jawatan. 

“Pendirian saya ialah mempertahankan dan melindungi imej SPRM daripada terjejas dan bukannya melindungi pegawainya yang membuat salah laku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here