
CYBERJAYA – Akibat berang dengan ibunya yang enggan memberi wang, seorang pemuda berusia 28 tahun bertindak memenggal kepala ibunya sendiri, Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, suspek pada mulanya meminta wang daripada ibunya, dipercayai untuk membeli dadah tetapi tidak diendahkan.
“Suspek dipercayai berang kerana tidak dapat mendapat wang bagi membeli dadah menjadi antara punca suspek bertindak demikian.
“Suspek juga dipercayai berada dalam pengaruh dadah (ketika kejadian),” katanya.
Arjunaidi berkata demikian pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor, hari ini.
Semalam, seorang wanita, berusia 56 tahun dilaporkan maut selepas anaknya bertindak kejam.
Kejadian menyayatkan hati itu berlaku di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Suspek sudah direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.