Pendaftaran mangsa banjir tidak pindah ke PPS dilanjutkan sehingga 17 Januari

0
16
Gambar Hiasan

KUANTAN – Pendaftaran mangsa banjir di Pahang yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dilanjutkan sehingga 17 Januari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu dibuat kerana masih terdapat mangsa yang belum berbuat demikian.

Sallehuddin berkata, tempoh proses pendaftaran sepatunya telah berakhir pada 7 Januari lalu, namun kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh itu.

“Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah dan belum berbuat demikian diminta segera menyerahkan borang pendaftaran kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum 17 Januari ini.

“Pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) kini sedang mengemaskini maklumat tersebut dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 17 Januari.

“Pembayaran pertama untuk mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS ini dijangka dibuat bermula 24 Januari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sallehuddin, sebanyak 17,310 ketua isi rumah (KIR) daripada 19,053 KIR yang terjejas banjir dan berpindah ke PPS di Pahang telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disalurkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehingga Isnin melibatkan peruntukan RM26.2 juta.

“Penerima adalah dalam kalangan KIR yang dikenalpasti terjejas banjir gelombang pertama dan kedua bagi Monsun Timur Laut 2021/2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here