Penduduk orang asli dipercayai maut dibaham harimau di Pos Bihai

0
125
Tangkap layar rakaman seekor harimau yang berkeliaran di kawasan penempatan penduduk di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang pada tahun lalu.

GUA MUSANG – Seorang penduduk orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai di sini dipercayai maut akibat dibaham oleh seekor harimau dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi ini.

Maklumat daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) memaklumkan, mangsa yang belum didedahkan identitinya telah dilarikan ke kawasan hutan selepas diterkam oleh haiwan pemangsa berkenaan.

Selepas beberapa jam operasi mencari, mayat mangsa dikatakan telah ditemui manakala harimau berkenaan dilaporkan telah dimati berkemungkinan ditembak oleh pihak Perhilitan.

“Maklumat dari Kampung Tendrik Pos Bihai, katanya harimau tersebut sudah tewas dan sudah dihantar ke Gua Musang.

“Mayat mangsa masih di dalam hutan dijaga oleh penduduk kampung yang menunggu polis tiba,” menurut JKOAK hari ini.

Katanya sebelum mangsa ditemui, penduduk kampung telah diarahkan oleh Perhilitan untuk tidak masuk ke hutan untuk mencari mangsa sebagai langkah keselamatan.

“Perhilitan juga menasihatkan penduduk supaya kekal di rumah bagi mengelak kemungkinan kejadian yang sama berulang.

“Inilah nasib kita orang asli, tanah dihancurkan kita yang jadi mangsa kemarahan binatang liar, sedihnya,” menurut kenyataan di media sosial JKOAK.

Pada Julai tahun lalu, seorang penduduk berusia 45 tahun pulang ke rumah di Kampung Badak, Pos Bihai dalam keadaah parah selepas diserang harimau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here