Pengecualian bayaran sewa di sekolah dilanjutkan 6 bulan lagi

0
48
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melanjutkan pengecualian bayaran sewa bagi pengusaha kantin serta ruang atau premis dalam sekolah di seluruh negara selama enam bulan lagi hingga Jun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata langkah itu bakal memanfaatkan lebih 10,000 pengusaha kantin, di samping penyewa lain termasuk dobi, kedai buku, koperasi serta mesin air minuman di sekolah.

Beliau berkata, KPM membuat keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai cabaran terpaksa dihadapi pengusaha terbabit sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19.

“KPM menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin sekolah untuk diberikan pengecualian bayaran sewa ketika ini.

“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewa kepada pengusaha kantin dan premis dalam sekolah selama enam bulan, bermula Januari hingga Jun depan,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini, sempena pengoperasian hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di Kelantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang perniagaan di institusi bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan, bermula Julai tahun lalu.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM akan mengeluarkan maklumat terperinci berhubung perkara itu, dalam masa terdekat.

“Ini bukan penangguhan bayaran sewa, sebaliknya diberi pengecualian terus selama enam bulan bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here