
CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui terdapat “beberapa kesilapan” dalam agensi kerajaan berikutan laporan 10 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan positif Covid-19 varian Omicron, tidak mempunyai rekod vaksinasi.
Laporan Bernama menyebut, perkara itu diakui sendiri oleh menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, hari ini.
Secara keseluruhannya, terdapat 17 kes melibatkan individu yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi positif varian Omicron, dengan 7 daripadanya melibatkan rakyat asing.
Kata Hamzah, negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi tersebut adalah dari United Kingdom (UK) yang melibatkan empat kes, Nigeria (4), Emiriah Arab Bersatu (4) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi.
“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sahaja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan,” kata Hamzah.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 10 kes jangkitan varian berkenaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang ke tanahair, baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berjanji pihaknya akan melakukan siasatan bagi memastikan bagaimana 10 rakyat Malaysia itu dibenarkan ke luar negara walaupun tidak mempunyai sejarah vaksinasi.