
KUALA LUMPUR – Seorang Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan pecah amanah wang bernilai US$6.94 juta (RM29 juta).
Memetik laporan Malaysia Gazette, Shahrum Nizam Baharuddin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Shahrum Nizam yang berusia 40 tahun antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta iaitu matawang dolar Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$6.94 juta.
Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Hakim kemudian menetapkan tiada ikat jamin yang dibenarkan, selepas mempertimbangkan rayuan pasukan pendakwa raya.
Terdahulu pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pertuduhan itu merupakan kes besar dan menjadi tumpuan media seluruh negara.
Hakim turut menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara mengesahkan menerima kertas siasatan berkait kehilangan wang berjumlah AS$6.94 juta daripada SPRM.