
BAGAN SERAI – Keputusan penjarakan saf solat bukan ‘saja-saja’ dibuat kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.
Sebaliknya kata Idris, perkara itu diputuskan oleh pihak berkuasa negeri selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, kerajaan sememangnya berhasrat untuk merapatkan kembali saf solat berjemaah di negara ini, namun akur dan menghormati keputusan bidang kuasa negeri.
“Memang kita nak rapatkan saf tapi keputusan yang dibuat ketika ini dibuat berdasarkan pandangan orang agama, ulama, KKM dan sebagainya.
“Kemudiannya, kita kena rujuk kepada bidang kuasa agama negeri dan jika rapat saf dibenarkan KKM sekali pun, ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pecah tanah Bangunan Tiga Tingkat SRITI BESTARI hari ini.
Mengambil contoh di Arab Saudi, Idris berkata, negara terbabit juga terpaksa jarak semula saf solat atas sebab tertentu.
“Insya-Allah, kita akan bincang semula perkara itu (jaraf saf solat) dari semasa ke semasa,” katanya.