
CYBERJAYA – Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang bermesyuarat buat pertama kali hari ini bersetuju memperkasakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai sebuah agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modernisasi perkhidmatan statistik.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik supaya dapat memberi pulangan yang besar dalam bentuk maklumat yang boleh digunakan dalam merangka dasar dan wawasan negara.
“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan.
“(Sebagai contoh) Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebentar tadi.
MSDN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta DOSM, berperanan sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.
Bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/Wilayah (MSDNgW) akan turut ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN).
Berikutan itu, seorang Chief Data Officer (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan dan agensi persekutuan dan negeri mulai tahun ini secara berperingkat.
“Di samping itu, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.
“Adalah dihasratkan dengan penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.