
CYBERJAYA – Pengendali perkhidmatan MRT laluan Kajang, Rapid Rail Sdn. Bhd. memohon maaf susulan gangguan dan kelewatan jadual perjalanan akibat masalah teknikal di Stesen MRT Phileo Damansara.
Kata Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini, kejadian berpunca daripada masalah teknikal dialami tren bernombor 22 ketika menghampiri stesen berkenaan.
Susulan itu, pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara stesen Phileo Damansara dengan stesen Semantan.
“Pengguna dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Phileo Damansara ke stesen Semantan dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
“Sebaliknya, pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di stesen Semantan ke stesen Phileo Damansara. Situasi ini menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform,” kata kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook milik pengendali itu..
Kenyataan itu menambah, kerja-kerja mengenal pasti masalah sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal.
“Pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal. Pengguna diminta untuk mengikuti status terkini perkhidmatan MRT menerusi platform media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini,” kata kenyataan itu lagi.