
CYBERJAYA – Perkhidmatan unifi TV yang mengalami gangguan akibat kebakaran pada sistem jana kuasa akan kembali pulih pada jam 3 petang ini.
Telekom Malaysia (TM) dalam satu kenyataan berkata, hampir 300,000 pengguna terjejas akibat gangguan tersebut.
“unifi TV dijangka kembali pulih semula perkhidmatannya pada jam 3 petang hari ini. Walau bagaimanapun, TMpoint Cyberjaya akan ditutup buat sementara waktu disebabkan bekalan kuasa yang rendah,” kata kenyataan itu.
Kata TM lagi, pihaknya sedang giat berusaha bersama dengan pasukan kontraktor dan jurutera bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut dibaik pulih semula dan sambungan tenaga kuasa dijangka siap sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari hari ini.
Kebakaran yang berlaku pada kira-kira pukul 9.50 malam tadi menyebabkan perkhidmatan unifi TV mengalami gangguan perkhidmatan di seluruh negara.
Difahamkan, kebakaran pada sistem jana kuasa itu memberi kesan kepada perkasasan ‘Bekalan Kuasa Tidak Terganggu’ (UPS) yang berada di Kompleks TM IT, di Cyberjaya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran dan memastikan keselamatan premis.
Kata TM lagi, setakat ini, punca kebakaran masih lagi belum diketahui.