
MELAKA – Sesi persekolahan di negeri ini mungkin terpaksa ditangguhkan jika keadaan kluster Covid-19 sektor pendidikan tidak menunjukkan pengurangan.
Buat masa ini, terdapat sembilan kluster berkaitan sektor pendidikan di negeri ini, melibatkan seramai 671 guru dan pelajar.
Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, pertambahan lagi dua lagi kluster baharu di Jasin pada hari ini mendorong Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melihat ada keperluan untuk menutup sekolah jika situasi kes sukar dikawal.
JKNM, katanya, akan mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk memikirkan satu kaedah lain mengawal penularan kluster berkenaan selain penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Ya ada keperluan (menutup sekolah jika kes positif terus melonjak) dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) perlu ada pelan tindakan khusus untuk perkara ini.
“Bagaimanapun, keputusan menutup sekolah adalah di peringkat Kementerian Pendidikan dan kita hanya mencadangkan berdasarkan penelitian fakta yang diperolehi daripada semua pihak berkaitan,” katanya kepada portal Malaysia Gazette, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, dua kluster pendidikan di Jasin yang direkodkan hari ini adalah Kluster Jalan Selandar dan Kluster Jalan Chinchin 2 melibatkan keseluruhan 64 positif Covid-19 termasuk seorang guru.
“Kluster Jalan Selandar melibatkan jangkitan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam (JAIM) As Syakirin dengan 28 kes positif, manakala enam lagi sampel kontak rapat masih menunggu keputusan.
“Sekolah telah ditutup selama 14 hari mulai 27 Januari selain pelajar asrama tidak dibenarkan balik manakala pelajar luar turut diarah kuarantin di rumah masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, Kluster Jalan Chinchin 2 pula melibatkan 35 pelajar kemasukan baru Institut Kemahiran MARA (IKM) dan seorang guru positif selain 11 lagi sampel masih menunggu keputusan.