
PEJAM celik kita sudah menghampiri penghujung bulan Januari, maknanya sudah hampir sebulan kita menghabiskan tahun baharu 2022.
Sepanjang tahun 2021 pelbagai pengalaman pahit dan manis kita rasai. Tahun 2021 juga menyaksikan
negara kita masih bergelut dengan tekanan ekonomi akibat daripada situasi pandemik Covid-19 yang berlarutan.
Sebagai rakyat kita turut tidak terkecuali daripada menerima tempias kepada keperitan ekonomi negara. Pada masa ini ramai dalam kalangan kita merancang untuk mengatur semula perbelanjaan bulanan agar dengan pendapatan atau keuntungan perniagaan yang ada kita boleh terus ‘survive’ atau meneruskan kehidupan atau perniagaan pada masa hadapan.
Maka dalam kita mengatur semula perbelanjaan tersebut, ada yang terus mengabaikan bayaran cukai yang sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Akibatnya baki cukai kita akan tertunggak dan risiko untuk kita dikenakan tindakan mahkamah adalah tinggi. Sekiranya tindakan mahkamah diambil terhadap kita maka ia bukan sahaja akan menjejaskan imej kita malah ia mungkin akan menambah beban kita kerana terpaksa mengupah peguam bagi mempertahankan diri.
Jadi petua dalam artikel ini boleh dijadikan panduan agar kita dapat menguruskan perihal cukai kita dengan baik sekali gus mengelakkan diri kita mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan tindakan mahkamah.
i. Peka dan ambil peduli peruntukan undang-undang berkaitan cukai
Jika kita benar-benar peka, ambil peduli dan tidak ambil remeh tentang cukai, hal tunggakan cukai sehingga kita dikenakan tindakan undang-undang tidak akan terjadi.
Apa yang kita perlu lakukan ialah cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan yakni yang makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai
tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun manakala bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.
Sementara itu, bagi syarikat pula mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.
Jadi, jika tempoh-tempoh ini tidak dipatuhi maka amaun cukai yang dikenakan terhadap kita berkemungkinan besar akan menjadi cukai tertunggak.
ii. Rujuk maklumat berkenaan cukai yang banyak terdapat di portal rasmi LHDN dan internet.
Pelbagai maklumat berkaitan dengan cukai pendapatan ada dimuatkan dalam portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my untuk rujukan; malah pada portal rasmi ini, LHDN turut menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform
Eduzone.
Platform Eduzone bukan sahaja memuatkan pelbagai risalah dan artikel berkaitan percukaian, malah ia turut dilengkapi dengan pelbagai video
pendek dan video-video wawancara pegawai LHDN dengan pihak media yang berbentuk penerangan dan boleh dimanfaatkan oleh kita sebagai pembayar cukai.

Selain daripada portal rasmi LHDN, maklumat percukaian juga boleh dirujuk di platform media sosial rasmi LHDN dan portal-portal firma percukaian bertauliah yang sememangnya pakar dalam bidang percukaian.
Sebolehnya elakkan untuk membuat rujukan dengan maklumat yang dikongsi di media sosial yang tidak diiktiraf. Hal ini kerana dikhuatiri maklumat yang dipaparkan dalam media sosial tersebut adalah kurang tepat dan terpesong.
iii. Hubungi LHDN untuk dapatkan maklum balas dan khidmat nasihat.
Bagi memastikan kita mendapat maklum balas sahih dan nasihat yang tepat, kita
boleh menghubungi pegawai perhubungan pelanggan HASiL di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi panggilan dari luar negara.
Jangan sesekali merujuk kepada pihak yang tidak pakar kerana ia hanyalah umpama kita bertanya mengenai rawatan dan perubatan kepada arkitek dan bukannya kepada seorang doktor.
Dikhuatiri isu percukaian kita tidak akan selesai malah akan menjadi lebih celaru. Seandainya talian khidmat pelanggan LHDN ini terlalu sibuk, kita masih lagi mempunyai pilihan untuk menghubungi pegawai-pegawai yang telah diberikan tanggungjawab melayani pertanyaan pembayar cukai yang mana nombor-nombor telefon bimbit rasmi mereka ada disiarkan dalam portal rasmi LHDN.
Selain itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh LHDN untuk kita manfaatkan.

iv. Semak kedudukan cukai kita melalui MyTAX.
Lakukan semakan dengan LHDN sekerap mungkin bagi mengelakkan kita terbeban dengan cukai tertunggak.
Kini LHDN telah menyediakan kaedah semakan yang mudah iaitu melalui aplikasi MyTax yang boleh dibuat secara dalam talian dan di hujung jari sahaja.
MyTax bukan sahaja satu aplikasi yang membolehkan kita membuat semakan cukai, malah lebih daripada itu MyTax juga merupakan one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai yang terkini.
v. Bincang dengan LHDN untuk ansuran cukai
LHDN sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan jika kita tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus. Bagi LHDN kaedah bayaran secara ansuran masih boleh dipertimbangkan, namun ia hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu. Maknanya, kita tidak boleh mengambil keputusan sendiri dengan membuat bayaran amaun cukai kita sedikit demi sedikit tanpa persetujuan pihak LHDN.
Bagi tujuan ini biasanya kita dikehendaki menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan kita dan bilangan ansuran yang ingin kita cadangkan.
Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah kita juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai yang dikenakan terhadap kita dan rayuan akan dipertimbangkan oleh LHDN berdasarkan kepada merit setiap kes. Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tidak menghubungi LHDN dan melakukan perbincangan dengan mereka berkenaan bayaran cukai kita.
Pendek kata, seperti mana yang sering diperkatakan oleh netizen pada masa ini, “Benda boleh bincang, buat apa nak kecoh-kecoh!; LHDN bersedia untuk mendengar permasalahan kita dalam melunaskan tunggakan cukai dan seterusnya mencadangkan jalan penyelesaiannya.
Kesimpulannya, tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya kita sentiasa ambil peduli tentang hal ehwal percukaian kita. Jangan bimbang untuk berbincang dengan LHDN sekiranya kita tidak mampu untuk melunaskan semua cukai kita dengan segera, sebaliknya hubungilah LHDN dan ambil inisiatif untuk berbincang kaedah ansuran yang terbaik.
Ingatlah bahawa cukai yang kita bayar amat diperlukan kerana ia akan digunakan oleh Kerajaan untuk manfaat segenap lapisan rakyat.
Melalui duit cukai ini pelbagai kemudahan dan program pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan.
Rakyat Malaysia ini bertuah, kerana dengan adanya cukai, kerajaan mampu menyediakan berbilion-bilion ringgit dana bantuan terutamanya apabila berlakunya pandemik Covid-19 dan bencana alam.
Semuanya adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela. Terima kasih pembayar cukai! Kerana sumbangan anda, rakyat Malaysia sejahtera.
Oleh: Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN