PICK berjaya kurangkan kes Covid-19 dalam negara

0
19

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersedia untuk melonggarkan lebih banyak sektor sekiranya pemberian dua dos vaksin dan dos penggalak Covid-19 kepada seluruh rakyat selesai.

Perdana Menteri berkata, ini kerana keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan di seluruh negara sejak tahun lalu telah berjaya mengurangkan kes Covid-19 dengan sangat memberangsangkan.

“Alhamdulillah sebelum akhir 2021, kita melihat kes pandemik dapat dikurangkan, daripada 24,000 (kes sehari), kita boleh lihat kes menurun hampir setiap hari.

“Ini adalah hasil polisi kita vaksinasi rakyat. (Kini) Lebih 97 peratus rakyat sudah divaksinasi, dan kini kita dalam peringkat pemberian dos penggalak,” kata Ismail Sabri ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra, hari ini.

Oleh kerana itu kata Ismail Sabri, kerajaan bersedia mempertimbangkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) sekiranya program pemberian dos penggalak selesai.

“Saya percaya kita boleh beri sedikit lagi kelonggaraan (bagaimanapun) terpulang kepada Kementerian Kesihatan untuk memberi pandangan,” katanya.

Beliau kemudiannya berkata, kerajaan tidak lagi akan membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat, sebagai langkah mengawal penularan Covid-19.

“Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lagi. Yang masih kita tutup adalah semapadan negara, yang terpaksa dilakukan kerana kes-kes di negara luar masih tinggi.

“Justeru, kita berhati-hati walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.

“Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia dan sepatutnya ke Thailand tetapi kes meningkat maka kita menggantung pergerakan ke luar negara ini dulu,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here