[VIDEO] Pinda perundangan berkenaan hak penjagaan anak-anak bagi pasangan yang berpisah – FRAM

0
63
Presiden FRAM, Malcolm Fernandez.

PUTRAJAYA – Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) akan mengemukakan satu kertas kerja supaya sistem perundangan berkenaan hak penjagaan sama rata antara pasangan yang berpisah terhadap anak-anak dapat dilaksanakan.

Presiden FRAM, Malcolm Fernandez berkata, cadangan itu akan dikemukakan minggu hadapan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Pinda perundangan berkenaan hak penjagaan anak-anak bagi pasangan yang berpisah - FRAM

Jelas Malcolm, cadangan itu antara lain melibatkan draf pindaan terhadap pelaksanaan perundangan sedia ada yang perlu dipinda, dan bukti-bukti sokongan kebaikan mempunyai hak penjagaan sama rata kepada ibu bapa.

“Kertas kerja tersebut juga mengandungi kajian-kajian daripada pakar-pakar psikologi yang telah menyatakan faedah dan manfaat hak penjagaan bersama.

“Kita juga akan memberikan contoh-contoh negara yang beralih kepada sistem sebegini,” kata Malcolm.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di perkarangan Istana Kehakiman, pagi tadi.

Beliau menambah, pihaknya mahukan satu reformasi perundangan berkenaan hak penjagaan yang mengutamakan kebajikan anak-anak, dan hak yang sama rata pada ibu dan bapa yang berpisah.

“Agak menghairankan bahawa walaupun terdapat satu evolusi reformasi perundangan dari segi hak atau isu-isu perceraian dan isu-isu hak jagaan seluruh dunia, malangnya di Malaysia pihak-pihak yang kononnya berjuang untuk hak kanak-kanak berdiam diri.

“Kenapa mereka berdiam? Sebab mereka mempunyai agenda sendiri. Kita boleh melihat berapa banyak negara yang telah memperkenalkan hak jagaan bersama, bertentangan dengan hak jagaan yang menjadi amalan di mahkamah-mahkamah sekarang (iaitu) mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here