
CYBERJAYA – Pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menempatkan kakitangan yang dilengkapi peranti mudah alih bagi mengimbas tag sebagai langkah mengatasi masalah pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Langkah segera itu diambil susulan maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap pelaksanaan sistem itu dengan penambahbaikan dilakukan PLUS bagi memastikan perjalanan pengguna lancar.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategiknya, Syed Mohammed Idid berkata, pelanggan tidak perlu risau jika masalah dan isu mengenai RFID terus berulang kerana PLUS sudah menempatkan kakitangan mereka yang dilengkapi peranti mudah alih untuk mengimbas tag sistem tersebut.
“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat pemasangan Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat disediakan. Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TnG menggantikan tag itu secara percuma.
“PLUS juga meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID. Pelanggan lebuh raya disaran memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID adalah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi PLUS, dengan RFID dibekalkan oleh syarikat Touch N Go.
Ia merupakan projek rintis dengan sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah pun dilaksanakan, manakala mula dilaksanakan PLUS di peringkat Lebuhraya Utara-Selatan.
Syed Mohammed berkata, PLUS berharap sistem RFID diterima baik selari dengan peredaran masa dan perkembangan dunia yang pesat dengan teknologi bagi memastikan perjalanan lebih lancar serta menyeronokkan.