PM akui amaran MetMalaysia tidak diendah, pengurusan banjir jadi kurang berkesan

0
28
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kegagalan sesetengah pihak bertindak kepada amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memburukkan pengurusan banjir pada 18 Disember lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ada pihak yang tidak mengambil endah tentang persediaan menghadapi cuaca buruk walaupun MetMalaysia telah mengeluarkan enam kali amaran.

Beliau berkata, persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022 sebaliknya banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur sehingga banjir yang berlaku di Selangor menjadi luar kawal.

“MET Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 6 kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan.

“Namun, amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana,” katanya pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ismail Sabri memberitahu, keadaan banjir yang luar biasa di Selangor telah menyebabkan situasi kelam kabut pada hari pertama pengurusan bencana itu.

“Hal itu mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding),” katanya.

Katanya, pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan
ketiga sehingga menyebabkan ketidak puasan hati mangsa-mangsa disebabkan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Pengursan Bencana Selangor (JPBN) Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.,” katanya.

Kejadian banjir di Selangor pada 18 Disember tahun lalu berpunca daripada jumlah purata hujan luar biasa iaitu 380 mililiter menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan dan diburukkan lagi dengan fenomena air laut pasang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here