PM diterima masuk Fakulti Undang-Undang UM berasaskan merit-PARFUM

0
71
Perdana Menteri, DatuK Sri Ismail Sabri ketika menghadiri manjlis anjuran Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM).

CYBERJAYA – Penerimaan masuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) adalah berasaskan merit dan berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, atas kejayaan berkenaan Ismail Sabri  seterusnya diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara.

Shahrizat berkata, ketika Perdana Menteri diterima masuk pada tahun 1980, Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim merupakan Dekan yang menguruskan keseluruhan yang terkenal dengan sifat integriti yang amat tinggi.

“Allahyarham adalah seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan di rantau Asia. Beliau amat disegani atas sifat integriti dan kebijaksanaannya yang mendahului masa ketika itu. 

Gambar Facebook Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

“Selaku Dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk Fakulti mahupun para pelajar yang diterima masuk adalah amat tinggi dan tanpa kompromi terutama pencapaian akademik pelajar-pelajar.

“Jadi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebagai penuntut,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Terdahulu sebelum ini, tular mesej pemilik akaun facebook menggunakan nama ‘Andrew Peris’ yang mendakwa bahawa keputusan SRP Ismail Sabri adalah lemah menyebabkan beliau memasuki sekolah vokasional di tingkatan empat.

Komen dan dakwaan tidak berasas oleh Andrew Peris terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Seterusnya, Andrew Peris juga mendakwa bahawa Ismail Sabri gagal Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan pergi ke sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, komen oleh Andrew Peris itu boleh dianggap sebagai satu tindakan untuk mencemar dan memburukkan imej Perdana Menteri dan seterusnya mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

“Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya adalah yang pertama dan terulung di negara ini. Dalam hampir 50 tahun penubuhannya pada tahun ini, Fakulti kami telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Peguam-Peguam dan ahli-ahli korporat yang disegani,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga mampu melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here